SK KAMPUNG SAWAI: KEJOHANAN SUKAN SEKOLAH PEDALAMAN 3 DAN PEDALAMAN 2 ZON SARAWAK PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 2022

TARIKH PELAKSANAAN: 8 NOVEMBER 2022 HINGGA 10 NOVEMBER 2022

Seramai 4 orang pelajar SK Kampung Sawai telah terpilih mewakili PPD Daro dalam acara Olahraga dan Bola Sepak bagi Kejohanan Sukan Sekolah Pedalaman 3 dan Pedalaman 2 Zon Sarawak Peringkat Kebangsaan Tahun 2022. Pelajar tersebut ialah, Daniel Aeron Bin Baldwin dari Tahun 6 yang mewakili acara Balapan 100 meter dan Lompat Jauh, Ezumaqi Elcy Bin Shukri dari Tahun 6 yang mewakili acara Balapan 200 meter, Amira Danisya Binti Romio yang mewakili acara Lontar Peluru dan Melvien Bin Johan pula mewakili acara Bola Sepak.

     Kejohanan ini dikelolakan oleh PPD Baram dan diadakan di Bandaraya Miri, venue bagi acara sukan diadakan di Stadium Miri untuk acara olahraga, Stadium Tertutup Miri bagi acara Bola Baling (Perempuan) dan Sekolah Kebangsaan Merbau pula untuk acara Bola Sepak (Lelaki). Kejohanan Sukan Sekolah Pedalaman 3 dan Pedalaman 2 Zon Sarawak Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 telah mengumpulkan sebanyak 20 buah PPD yang mana mempunyai sekolah pedalaman 2 dan 3 di bawah seliaan mereka.

     Pada tahun ini, PPD Baram telah memenangi dan mengenggam piala pusingan bagi kejohanan sukan sekolah pedalaman kerana berjaya menjadi johan bagi acara olahraga dan keseluruhan. Sementera itu, PPD Daro berada pada ranking ke 9 daripada 20 buah PPD yang bertanding, hasil daripada mata yang disumbangkan oleh atlet lontar peluru (lelaki) dari SK Batang Lassa yang mendapat gangsa dan atlet lompat jauh (lelaki) dari SK Kampung Sawai yang mendapat tempat ke 4 daripada 8 peserta yang terbaik.

     Kejohanan ini adalah merupakan satu program sukan yang mendukung usaha untuk memenuhi kehendak semua murid terlibat sekurang-kurangnya dalam satu jenis sukan serta sebagai salah satu pengisian program 1Murid 1Sukan. Selain itu, obkjektif penganjuran ini dapat dilihat, dengan memupuk budaya bersukan dalam kalangan murid-murid sekolah yang berada di kawasan pedalaman 3 dan pedalaman 2. Menyediakan peluang bertanding yang berstruktur dalam kalangan murid sekolah pedalaman. Mencungkil bakat dalam kalangan murid pedalaman untuk dilatih secara sistematik serta diberi pendedahan ke peringkat yang lebih tinggi. Menjadikan aktiviti bersukan sebagai sebahagian daripada budaya dalam kalangan murid terlibat ke arah meningkatkan kesihatan dan kualiti kehidupan.

     Kejohanan ini telah berlangsung selama 1 minggu, dengan perjalanan kontijen dari setiap PPD bermula pada hari Ahad (6/11/2022). Pada hari isnin (7/11/2022) diadakan taklimat bagi menerangkan prosedur dan peraturan bagi setiap acara yang akan dijalankan kepada pengurus pasukan dan jurulatih bagi setiap PPD yang bertanding. Hari Selasa, (8/11/2022) bermula acara Olahraga, Bola Baling (Perempuan) peringkat kumpulan dan Bola Sepak (Lelaki) peringkat kumpulan. Seterusnya, hari Rabu (9/11/2022) hanya berlangsung acara Bola Baling dan Bola sepak peringkat kumpulan. Setelah itu, hari yang terakhir Khamis (10/11/2022). Pada sebelah pagi berlangsung acara Bola baling dan Bola sepak untuk separuh akhir dan akhir. Pada sebelah petang pula, majlis penutupan berlangsung bagi menyerahkan pingat dan piala kepada para atlet yang telah memenangi acara yang dipertandingkan sepanjang kejohanan berlangsung.

     Atlet dari SK Kampung Sawai telah menunjukkan semangat yang tinggi dalam acara yang disertai oleh mereka. Hasilnya, seorang pelajar kita telah membawa pingat bagi tempat ke 4 untuk acara Lompat jauh (Lelaki) daripada 8 peserta yang terbaik. Selain itu, atlet lontar peluru (perempuan) berada pada ranking 9 daripada 18 atlet yang bertanding. Kejohanan ini dilihat telah memberikan satu pengalaman yang berharga buat atlet SK Kampung Sawai di mana mereka mampu untuk bertanding dan berada sama paras dengan atlet sekolah-sekolah pedalaman lain. Pendedehan ini merupakan satu pendekatan yang terbaik dalam meningkatkan kemenjadian pelajar dan menyerlahkan potensi mereka untuk mencapai prestasi yang lebih baik dan tertinggi.

 

Laporan disediakan oleh:

Muhammad Muammar Bin Nurhady

Setiausaha PK Kokurikulum














Post a Comment

0 Comments